Kisah 7 Pemuda Tertidur 300 Tahun (Dalam Surah Al-Khafi)

Sharing is caring!

Pada zaman dahulu kala, ada 7 orang pemuda yang beriman teguh pada Allah SWT. Raja dalam negeri tersebut ialah Raja Daqyanus. Beliau memaksa rakyat-rakyat beliau supaya menyembah berhala, tetapi 7 orang pemuda itu tidak mahu mengikut perintahnya. Lalu raja itu mengancam akan membunuh mereka kalau tidak mahu menyembah berhala.

Tetapi mereka tetap berpegang teguh pada agama mereka dan tidak mahu menyembah berhala meskipun akan dihukum bunuh. Kemudian, mereka meninggalkan negeri tersebut dan melarikan diri bersembunyi di dalam sebuah gua agak jauh dari negeri tersebut. Di tengah jalan, mereka diikuti oleh seekor anjing, mereka cuba mengusir anjing tersebut tetapi anjing itu terus mengikuti mereka.
Setelah mereka sampai di gua yang dituju, masuklah mereka ke dalamnya sementara anjing yang menjaga mereka menjaga pintu mereka. Di sini, mereka menghabiskan masa dengan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Akhirnya mereka ditidurkan oleh Allah senyenyak-nyenyaknya sehingga tidak mendengar sesuatu apa pun. Maka, tidurlah mereka di dalam gua itu selama 300 tahun.

Sementara itu, Raja Daqyanus yang memaksa rakyatnya menyembah berhala itu telah mati dan telah digantikan dengan raja yang kemudiannya. Akhirnya, negeri itu diperintah oleh seorang raja yang beriman kepada Allah SWT dan berlaku adil terhadap rakyatnya.

Pada masa itu, terjadi perselisihan faham dalam negeri tersebut tentang hari kebangkitan(hidup kembali sesudah mati untuk menerima balasan Yang Maha Adil dari Allah SWT). Ada di antara mereka yang mempercayainya, ada rakyat yang mengingkarinya. Lalu, raja itu meminta pada Allah SWT supaya menerangkan jalan kebenaran bagi rakyatnya.

Dengan kehendak Allah SWT, tidak lama kemudian salah seorang pengembala kambing raja tersebut telah merobohkan tutupan lubang gua itu di mana tempat 7 orang pemuda itu tertidur. Pengembala yang hendak membuat tempat kandang kambingnya telah menyebabkan mereka tersedar dari tidur.

Kata salah seorang daripada mereka “Berapa lamakah kita tidur disini?”. Kata yang lain, “Allah lebih tahu berapa lama kita tidur di sini”. Kemudian mereka mengutuskan seorang teman mereka pergi ke dalam kota negeri tersebut untuk membeli makanan dengan wang perak yang dibawa bersama ke dalam gua tersebut, seraya berkata, “Pergilah membeli makanan yang enak dan bawa ke mari serta hendaklah berlaku lemah lembut supaya tiada orang yang mengetahui keadaan kita disin. Jika mereka mengenal kita, sudah tentu mereka akan merejam kita dan memaksa untuk memeluk agama mereka”.

Setelah pesuruh itu masuk ke dalam kota itu, lalu dibelinya makanan dan dibayar dengan wang perak tersebut keluaran buatan Raja Daqyanus itu. Apabila penjual itu mendapat wang simpanan raja dahulukala itu, maka dibawa nya pesuruh itu menghadap raja. Setelah raja melihat wang lama tersebut, maka ditanyanya, “Dari mana kamu dapat wang ini?” sahut pemuda itu, “Wang ini kami bawa dari kota ini sebelum kami melarikan diri ke dalam gua kerana takut dibunuh oleh Raja Daqyanus kerana kami tidak mahu menyembah berhala.” Raja itu bertanya lagi, “Dimana gua kamu duduki itu?”.

Maka dijawab pesuruh itu,”Tempatnya di sebelah sana.” Kemudian raja itu pergi bersama pembesar-pembesarnya ke gua tersebut dan ditemani oleh pesuruh tadi. Tatkala raja dan pembesarnya melihat hal ehwal 7 orang pemuda itu serta seekor anjing, mereka berasa sangat takjub dan hairan kerana Raja Daqyanus itu telah mati 300 tahun dahulu. Ini bermakna mereka telah tertidur selama lebih 300 tahun di dalam gua itu.

Dari peristiwa itu, mereka mendapat dalil dan keterangan, bahawa Allah SWT berkuasa menghidupkan orang yang telah mati untuk dibalas dan diadili atas segala perbuatannya di atas dunia ini. Kerana apabila Allah SWT berkuasa menidurkan 7 orang pemuda itu selama 300 tahun, kemudian dibangunkan kembali, tentu Allah SWT berkuasa pula menghidupkan orang mati pada hari kiamat. Kemudian pemuda-pemuda itu mengucapkan selamat tinggal kepada raja, lalu mereka kembali ke tempat tidur masing-masing.

Ketika itu, Allah SWT mewafatkan mereka semua. Maka dengan rasa terharu, raja tersebut mengkafani mereka semua dengan kainnya sendiri dan dimasukkan ke dalam peti, lalu dikuburkan disitu. Dan kemudian dibuat kan masjid di pintu gua itu sebagai memperingati pemuda-pemuda itu.

Kredit: Humanmind.com

Sharing is caring!